14 February, 2010

Rindu ini berdendam

Sudah dekat 4 bulan aku tidak pulang ke kampung. Berada di rumah seorang selalu membuat aku rindu saat-saat di sana. Melihat gelagat warga penghuni flat perumahan kakitangan awam di sini, di waktu petang-petang begini membuat aku terkenang hidup-hidup aku yang lalu. Hidup yang selalu dekat dengan orang-orang tersayang. Keluarga dan dia serta sahabat-sahabat aku. Adakala hidup waktu itu aku rasakan derita. Adakala ia dirasakan bahagia. Waktu aku belum ada pekerjaan tetap, rutin hidup aku tidak teratur. Entah apa yang aku ingin buat. Kadang-kadang, ketika bermain gitar bersama adik, melalak-lalak di rumah sebelah, membuat aku sedih dengan hidup aku waktu itu. Ibu, hanya diam dan biasa. Tapi aku tahu dalam hatinya, anaknya seorang ini bila lah akan mendapat hidupnya yang sebenar. Ayah, pergi dan pulang kerja, hanya mengikut waktu menjeling anaknya yang entah, apa yang mahu jadi. Aku sedar semua itu. Setiap hari aku sedar.

Si dia yang menjadi pembakar semangat aku juga selalu aku temui. Tetapi setiap kali aku bersama dia, aku terasa terlalu kecil dibandingkan dengan orang-orang sekeliling. Aku sedar penampilan aku selalu selekeh. Tidak bergaya. Tapi dia tidak kisah semua itu. Aku sedar kasih sayang dia terlalu kuat untuk aku. Dan semakin hari, aku mahu berkorban apa saja untuk dia. Tetapi aku tidak berdaya. Hanya apa yang aku mampu, berdoa dan  terus berdoa untuk perubahan hidup aku. Agar dia ada rasa bangga dengan aku. Agar dia mahu terus bersama aku. Walau kadang-kadang salah faham terlintas dalam hubungan kami, tapi bagi aku itu semua mematangkan fikiran.

Sahabat aku yang selalu menjadi pengisi ruang masa yang kosong tidak pernah kecewakan aku. Selalu merasa hidup seperti sama sahaja dengan yang lain ketika berborak dengan mereka. Walaupun hidup mereka waktu itu lebih baik dari aku. Aku tidak pernah disisihkan. Gembira ada mereka.

Tetapi, semakin hari berlalu, semakin aku rasa seperti akan berjauhan dengan mereka semua. Selalu begitu aku rasakan. Entah apa yang bakal terjadi. Kadang-kadang aku fikir, mungkin aku akan lari dan mencari kehidupan aku. Tetapi dimana? Bagaimana? Mungkin juga aku akan tiada lagi di dunia ni. Mungkin. Sebab aku rasa semakin jauh. Sehinggalah hari itu. Aku dipanggil untuk ujian dan temuduga. Setelah dipanggil untuk melapor diri, dan sampai di tempat latihan, disitulah aku fikir, ini lah yang membuatkan aku selalu rasa semakin jauh dengan mereka. Rupanya ini. Lebih 6 bulan menjadi pelatih, dan dalam masa itu, tidak lari kerinduan dengan mereka-mereka yang berkenaan. Si dia selalu mencari aku. Aku betul-betul tidak menyangka dia menghubungi aku di sana. Rupanya dia selalu mencari aku. Aku sangat sedih kerana terpaksa meninggalkan dia. Tetapi demi perubahan kehidupan aku mesti tempuh. Di situ juga aku berjanji mahu hidup bersama dia setelah selesai latihan dan mendapat kehidupan nanti. Aku tidak mahu sia-siakan.

Dan kini, aku berada agak jauh dari mereka. Walaupun tidak berapa jauh, tapi masih rasa terlalu rindu. Dan mungkin, ini lah hidup aku yang ditunggu. Aku berkerja, mendapat gaji setiap bulan. Dapat membantu keluarga walau tidak seberapa. Dan juga, kini aku dan dia sudah bertunang. Hubungan kami semakin dekat. Hanya tunggu masa untuk naik pelamin. Semua ini berkat doa-doa mereka yang mendoakan aku. Aku bersyukur dengan kehidupan sekarang.

Namun kerinduan di masa lalu tetap merasuk jiwa. Selalu begini. Masa lalu itu menjadikan masa sekarang sangat indah. Dan masa sekarang ini bakal menjadikan masa depan yang indah. Doakan aku…