nuffnang frame

Mar 5, 2010

Masa Kecil Dulu…

Aku termenung sambil merokok di belakang rumah sebentar tadi. (Amaran! Rokok membahayakan kesihatan). Bila dah termenung macam tu, mula la layan blues, teringatkan zaman kehebatan dulu. Hehe.. Seorang yang berjuang untuk menjadi dewasa. Untuk menjadi berani. Untuk menjadi pria terhebat. Zaman kanak-kanak dulu.

Sebenarnya tidak banyak yang dapat diingat. Al maklum lah, sudah meningkat usia. Yang dulu tu semakin pudar, tetapi tetap indah kalau diingat semula. Bila termenung di belakang rumah tadi, aku teringat masa tinggal di berek Balai Polis dulu. Belakang rumah itu ada sekolah. Dan sekolah itu la  tempat aku mendewasakan diri.

Malam. Aku terimbas kembali waktu aku kecil. Mungkin dalam darjah 4, 5, kalau tidak silap. Aku seorang diri, termenung di belakang rumah. Memerhati keadaan belakang yang gelap, samar-samar oleh cahaya bulan dan lampu-lampu rumah yang suram. Sekolah dalam keadaan gelap gelita. Aku terfikir kenapa aku berada di belakang rumah itu? Sedangkan aku dulu seorang yang penakut. Keadaan belakang rumah memang agak seram. Pokok mangga yang agak tinggi. Ada dua. Satu hampir dengar rumah. Yang satu agak jauh. Tapi aku tetap termenung di situ. Entah apa yang aku fikirkan.

Aku melihat pagar yang sudah rosak, berkarat dan berlubang. Aku melihat rumput-rumput yang tidak jelas oleh cahaya malap. Aku termenung, tapi entah apa yang aku fikirkan waktu tu. Tapi aku dapat rasakan aku belajar memberanikan diri aku dengan keadaan sebegitu. Seorang diri di belakang rumah, gelap, sunyi sepi. Padahal cerita kawan-kawan dulu bukan main menakutkan lagi. Nampak itu ini. Kepala berambut panjang terbang, kain putih berdiri macam tunggul. Tapi aku tidak hiraukan semua tu. Aku terus termenung. Berfikir. Merasa. Dan belajar. Tapi aku tidak pasti kenapa.

Kadang-kadang, keadaan belakang rumah itu la selalu menjadi lokasi mimpi seram aku. Aku pernah termimpi kepala ayam yang saiznya besar tiba-tiba muncul di belakang rumah hendak masuk ke dapur. Pernah juga aku terbayang lembaga berleher panjang melintas belakang rumah sambil menjeling arah dapur. Entah la. Semua tu adalah imaginasi zaman kanak-kanak aku dulu.

Dan sekarang ni, aku tidak takut seorang diri di belakang rumah. Walaupun gelap, sunyi sepi. Tapi masih mampu termenung sendirian. Cuma aku tak dapat bayangkan kalau masa, waktu sekarang ini, aku berada di belakang rumah yang dulu itu, di berek Balai Polis, aku rasa aku mesti ada rasa takut. Sebab sekarang ini, tidak ramai yang tinggal di bangunan itu. Gelap menjadi gelita, sunyi menjadi sepi. Kadang-kadang suara anjing melolong kedengaran di belakang rumah. Seorang diri sudah tentu menimbulkan rasa takut. He.. He.. Kalau tidak ada rasa takut, tu bukan manusia namanya. Tapi apa pun, zaman kita yang dulu itu lah yang banyak mengajar kita menjadi zaman sekarang.

p/s: Catitan bosan. Asalkan blog update. He…