31 December, 2006

Sesuatu Untuk Aku #2, the end

Sebenarnya cerita pasal aku lari dari rumah itu sudah tamat sejak aku balik
ke Kudat pada Selasa, 12 Disember lalu. Malam dimana semuanya berkumpul, aku
berjaga-jaga dengan penjelasan. Takut tersilap cakap nanti membawa kekeliruan
pula.



Pada malam sebelum esoknya aku pergi temuduga di bangunan KWSP Kota kinabalu,
kak Long ada telefon aku. Dia tanya tentang persiapan untuk ke temuduga tu.
Bererti dia ingat aku, ambil berat tentang aku. Dan maksudnya dia tidak marah
lagi atau membenci. Aku pun sudah minta maaf dengan kak Long dan yang lain.
Sedar salah aku. Tapi ia masih segar dalam ingatan.



Banyak juga pengalaman sewaktu menumpang di rumah kawan aku, Mr.Fit
(dulu aku gelar dia ni Mr.Pro). Yang aku tidak akan lupakan, sewaktu tolong
Mr.Fit angkat guni berisi getah kimpalan dan hantar ke kilang getah untuk dijual.
Sewaktu masuk kampung yang diberi nama Kampung Roun, aku dapat melihat
penduduk-penduduknya hidup dengan cara mereka sendiri. Bekalan air dan elektrik
sepertinya tidak ada di situ. Mr.Fit ada menceritakan serba sedikit tentang
kampung Roun. Penduduk kampung di situ pernah meminta kerajaan untuk membekalkan
tenaga elektrik. Tetapi kerajaan kononnya hanya berjanji kosong. Buktinya sampai
sekarang aku tenggok rumah mereka hanya berbekalkan tenaga elektrik dari mesin
generator sendiri. Ada juga yang ingin meminta supaya kampung itu terdapat
sebuah surau. Tapi alasan yang diberi, kampung sebelah masih ada surau.
Berapa jauh jarak dari kampung itu. Entahlah. Hal politik, kata Mr.Fit.
Sampai di satu kawasan, kami mengangkat beberapa guni getah kimpalan.
Pertama kali pegang getah asli. Baunya memang busuk. Tapi sekurang-kurangnya aku
dapat upah. Aku bersyukur walaupun tidak seberapa. Yalah. Siapa yang mahu bagi
kita wang kalau bukan dengan berkerja. Sekurang-kurangnya aku belajar berdikari.
Tapi sebenarnya aku tidak mengharapkan upah. Cukup Mr.Fit tumpangkan aku di rumahnya.



Initrah juga temankan aku walaupun kami berjumpa cuma beberapa kali saja.
Dialah yang selalu memberi semangat, tempat meluah dan segalanya. Terima kasih
kepadanya kerana belanja aku makan tengahari masa tu. Hehe.. Aku sedar aku
menyusahkan semua orang termasuk Initrah dan kawan baik aku. Tapi aku bukanlah
lari dari keluarga. Cukup susah untuk terangkan maksud perbuatan aku itu.
Aku mahu mencari sesuatu. Mencari sesuatu yang pernah dibaca dari buku,
yang pernah didengar daripada khutbah, dan yang pernah didengar daripada
perbicaraan dalam pertemuan yang pernah dihadiri. Tapi dapatkah aku? Kalaulah
wujud Kampung Cahaya seperti yang diceritakan oleh seorang sasterawan
negara, aku ingin ke sana. Kenapa Kampung Cahaya? Aku dapat rasa ada ketenangan,
kebaikan, didikan, yang mungkin mampu mengubah hidup aku. Tapi wujudkah?
Selama menjadi orang seperti hilang arah, aku ada mengalami sindiran-sindiran
hebat. Tapi itu semua adalah asam garam kehidupan yang harus dilalui setiap
manusia. Belajar dengan tabah. Hadapi apa yang ditakuti.



Kawan aku ada bertanya, kenapa aku buat macam ni.
Sebab merajuk? Marah? Atau ada sebab lain? Bagi aku mungkin sebab ada yang ingin
aku lihat, rasa, dengar. Kadang-kadang aku sendiri tidak faham kenapa aku
macam ni. Apa yang nyata, aku mendapat sesuatu yang mungkin hanya aku saja yang
dapat merasakannya. Biarlah aku saja yang mengetahuinya.

p/s: Air dicincang tidak akan putus (untuk saudara-saudaraku).
Bagai isi dengan kuku (untuk kawan baikku).
Bagai pinang dibelah dua (untuk siapa yek? :-p)



*Kampung Cahaya: Nama sebuah kampung dalam novel Masuk Ke Dalam Cahaya, yang ditulis oleh Sasterawan Negara, Abdullah Hussain, 1997

2 comments:

  1. Anonymous20/1/12 09:39

    Salam Sejahtera,

    Baca balik cerita ini, dari pertama hingga akhir,
    kalau ko ketawa konfirm la ko suda matang.

    **Proses Pematangan pemikiran dimana setiap individu pasti melaluinya, sama seperti ko,
    heheh.,,

    ReplyDelete
  2. lama suda aku ketawa pasal cerita nih...

    ReplyDelete

Sesiapa saja boleh menaip komen di sini walaupun tiada akaun blogger (Anonymous).
Taip la ulasan anda dengan menggunakan ayat-ayat yang baik, bersih, dan wangi: