31 December, 2006

Sesuatu Untuk Aku #2, the end

Sebenarnya cerita pasal aku lari dari rumah itu sudah tamat sejak aku balik
ke Kudat pada Selasa, 12 Disember lalu. Malam dimana semuanya berkumpul, aku
berjaga-jaga dengan penjelasan. Takut tersilap cakap nanti membawa kekeliruan
pula.



Pada malam sebelum esoknya aku pergi temuduga di bangunan KWSP Kota kinabalu,
kak Long ada telefon aku. Dia tanya tentang persiapan untuk ke temuduga tu.
Bererti dia ingat aku, ambil berat tentang aku. Dan maksudnya dia tidak marah
lagi atau membenci. Aku pun sudah minta maaf dengan kak Long dan yang lain.
Sedar salah aku. Tapi ia masih segar dalam ingatan.



Banyak juga pengalaman sewaktu menumpang di rumah kawan aku, Mr.Fit
(dulu aku gelar dia ni Mr.Pro). Yang aku tidak akan lupakan, sewaktu tolong
Mr.Fit angkat guni berisi getah kimpalan dan hantar ke kilang getah untuk dijual.
Sewaktu masuk kampung yang diberi nama Kampung Roun, aku dapat melihat
penduduk-penduduknya hidup dengan cara mereka sendiri. Bekalan air dan elektrik
sepertinya tidak ada di situ. Mr.Fit ada menceritakan serba sedikit tentang
kampung Roun. Penduduk kampung di situ pernah meminta kerajaan untuk membekalkan
tenaga elektrik. Tetapi kerajaan kononnya hanya berjanji kosong. Buktinya sampai
sekarang aku tenggok rumah mereka hanya berbekalkan tenaga elektrik dari mesin
generator sendiri. Ada juga yang ingin meminta supaya kampung itu terdapat
sebuah surau. Tapi alasan yang diberi, kampung sebelah masih ada surau.
Berapa jauh jarak dari kampung itu. Entahlah. Hal politik, kata Mr.Fit.
Sampai di satu kawasan, kami mengangkat beberapa guni getah kimpalan.
Pertama kali pegang getah asli. Baunya memang busuk. Tapi sekurang-kurangnya aku
dapat upah. Aku bersyukur walaupun tidak seberapa. Yalah. Siapa yang mahu bagi
kita wang kalau bukan dengan berkerja. Sekurang-kurangnya aku belajar berdikari.
Tapi sebenarnya aku tidak mengharapkan upah. Cukup Mr.Fit tumpangkan aku di rumahnya.



Initrah juga temankan aku walaupun kami berjumpa cuma beberapa kali saja.
Dialah yang selalu memberi semangat, tempat meluah dan segalanya. Terima kasih
kepadanya kerana belanja aku makan tengahari masa tu. Hehe.. Aku sedar aku
menyusahkan semua orang termasuk Initrah dan kawan baik aku. Tapi aku bukanlah
lari dari keluarga. Cukup susah untuk terangkan maksud perbuatan aku itu.
Aku mahu mencari sesuatu. Mencari sesuatu yang pernah dibaca dari buku,
yang pernah didengar daripada khutbah, dan yang pernah didengar daripada
perbicaraan dalam pertemuan yang pernah dihadiri. Tapi dapatkah aku? Kalaulah
wujud Kampung Cahaya seperti yang diceritakan oleh seorang sasterawan
negara, aku ingin ke sana. Kenapa Kampung Cahaya? Aku dapat rasa ada ketenangan,
kebaikan, didikan, yang mungkin mampu mengubah hidup aku. Tapi wujudkah?
Selama menjadi orang seperti hilang arah, aku ada mengalami sindiran-sindiran
hebat. Tapi itu semua adalah asam garam kehidupan yang harus dilalui setiap
manusia. Belajar dengan tabah. Hadapi apa yang ditakuti.



Kawan aku ada bertanya, kenapa aku buat macam ni.
Sebab merajuk? Marah? Atau ada sebab lain? Bagi aku mungkin sebab ada yang ingin
aku lihat, rasa, dengar. Kadang-kadang aku sendiri tidak faham kenapa aku
macam ni. Apa yang nyata, aku mendapat sesuatu yang mungkin hanya aku saja yang
dapat merasakannya. Biarlah aku saja yang mengetahuinya.

p/s: Air dicincang tidak akan putus (untuk saudara-saudaraku).
Bagai isi dengan kuku (untuk kawan baikku).
Bagai pinang dibelah dua (untuk siapa yek? :-p)



*Kampung Cahaya: Nama sebuah kampung dalam novel Masuk Ke Dalam Cahaya, yang ditulis oleh Sasterawan Negara, Abdullah Hussain, 1997

08 December, 2006

Sesuatu Untuk Aku #1


POsting diluar batasan aku. Mungkin ada sesuatu.. :-)

04 December, 2006

Perjalanan ke Arah itu

Aku tidak kisah kalau terpaksa berjalan kaki, menumpang bas untuk menemani dia. Asal saja dia selamat pulang ke rumahnya.

"Dia tu siapa sampai kau buat macam tu? Setahu aku, kau ni jenis yang hanya berjalan jauh-jauh kalau ada kereta. Tidak larilah hobi kau memandu kereta. Nampaknya kau sayang sangat dengan dia?"

"Ya. Kamu betul. Aku sayang sangat dengan dia..." kata aku sambil termenung.

"Maksudnya, kau cinta sangat dengan dia?" soalan macam tidak puas hati.

"Ya. Hm.. Apa perbezaan antara sayang dan cinta?" aku pula tanya.

"Entah," dia jawab sambil dia senyum.

"Ok. Diam." Diam sejenak.

"Mana kereta yang selalu kau bawa?" tanya dia lagi.

"Abang ipar aku pakai pergi kerja."

"Kenapa dia tidak pakai yang satu lagi."

"Kakak aku pakai pergi Kudat. Ambil mak dan adik-adik yang lain."

"Patutpun kau jalan kaki dan naik bas."

"Ya."

"Kau ni kadang-kadang macam orang berada (kaya). Kadang-kadang macam orang miskin. Ha! Ha! Ha!" dia ketawa. Tapi sekejap saja sebab aku ketuk dengan tumit aku.

"Aku orang miskin yang kaya, aku orang sederhana yang kaya," jawab aku. Dia diam sekejap.

Aku tiada kereta sendiri. Aku hanya seorang peminjam kereta. Orang bagi pinjam, aku pinjam. Orang tidak bagi pinjam, aku mahu pinjam. Orang tu siapa? Siapa-siapa yang baik hati.

03 December, 2006

Minit, berminit bersamanya.

K.long dan yang lain mahu keluar. Agaknya mahu pergi makan. Aku di suruh pegi pekan Tuaran untuk membayar sewa kedai. Aku bawa dua orang adik aku boboy dan pian. Sampai di pekan Tuaran aku pergi keluarkan duit di bank. Kemudian aku hantar adik aku di kedai dan aku pergi ke rumah initrah. Sampai di sana aku singgah di sebuah kedai runcit untuk membeli makanan ringan. Sambil-sambil tu menunggu kedatangan initrah. Tidak lama kemudian dia datang. Terubat juga rindu dapat tenggok dia. Initrah sempat belikan aku makanan ringan. Aku dengan segan silu dan malu-malu kucing mengambil makanan itu. Kemudian dia pun pergi.

Dalam perjalanan ke pekan (dari rumah initrah) aku cari handphone aku. Kebiasaannya aku letak dalam kereta ni. Cari dan terus mencari tidak juga berjumpa. Aku mula risau. Aku biarkan hal itu. Terus singgah di public phone, menelefon initrah untuk mengucapkan terima kasih.

Setelah itu aku menuju ke pejabat Dato' Peter Chung yang terletak di antara kedai-kedai di pekan itu. Rupanya pejabat Dato tutup hari Ahad. Aku singgah pula di kedai gunting rambut. Menghensemkan diri di situ selama beberapa minit. Pernah orang tanya, kenapa tidak gunting rambut di salon? Aku selesa rambut aku di gunting oleh lelaki dewasa atau tua. Lagi pun murah. :-) Rambut kemas, hati senang.

Kembali kepada hal handphone hilang. Aku masih mencari-cari. K.long mula marah sebab aku tidak sambut panggilannya. Matilah aku! Tiba-tiba K.long telefon lagi melalui handphone adik aku. Mereka sudah ada di rumah dan handphone aku juga ada di rumah. Rupanya handphone aku tertinggal di rumah. K.long tidak jadi marah. Lega rasanya...

p/s: Macam pelik pula bunyi bila aku baca balik entri ni.